Kuliah Maghrib- Ucapkanlah Terima Kasih Dan Ingatlah Kebaikan Orang Lain (siri akhir)

14 10 2009

Telah disebut peristiwa Rasulullah S.A.W. dan Mat’am Bin ‘Adi. Rasulullah S.A.W. tetap mengingati kebaikan yang telah Mat’am lakukan walaupun dia musyrik.

Namun dalam mengenang kebaikan manusia, janganlah kita jadikan jasa orang lain itu alasan untuk kita mengabaikan perintah Allah S.W.T. , apatah lagi menjual Aqidah sendiri. Apa yang dinukilkan di dalam Al-Quran mengenai kisah Musa a.s. dan Firaun hendaklah diambil iktibar.

Jika mahu dihitung kebaikan yang telah dilakukan Firaun kepada Musa a.s. memanglah banyak. Musa a.s. dibesarkan di dalam istana Firaun, dari kecil hinggal dewasa. Dibesarkan di dalam istana, bukannya pondok kecil atau khemah terbiar, maka hidupnya serba cukup.

Tetapi kebaikan yang dilakukan Firaun itu tidak bermakna kezalimannya telah boleh dipadam begitu saja. Bukan setakat menzalimi Bani Israel, Firaun telah melebihi tindakan syaitan sehingga mengaku dirinya Tuhan. Syaitan yang menyesatkan itu sendiri tidak mengaku dirinya Tuhan.

Untuk itu Allah swt melantik Musa a.s dan saudaranya Harun a.s. untuk membetulkan Firaun dari kesesatan. Teguran kepadanya dimulakan dengan lembut, mudah-mudahan Firaun sedar.

Setelah Musa a.s. mendatangi Firaun untuk membetulkannya dari kesesatan, apa pula yang dikatakan Firaun kepada Musa a.s.?

nagaokamasjidblog2nagaokamasjidblog1Dia(Fir’aun) menjawab, “Bukankah kami telah mengasuhmu dalam lingkungan (keluarga) kami, waktu engkau masih kanak-kanak dan engkau tinggal bersama kami beberapa tahun dari umurmu. Dan engkau (Musa) telah melakukan (kesalahan dari) perbuatan yang telah engkau lakukan dan engkau termasuk orang yang tidak tahu berterima kasih.”

(As-Syu’araa’:18~19)

Firaun mengungkit jasanya membesarkan Musa a.s. , namun adakah kebaikan yang telah dia lakukan itu boleh membayar kezalimannya? Firaun menafikan hak Allah s.w.t. untuk disembah, malah menyesatkan manusia dan menzalimi bani Israil.

Oleh itu hendaklah kita beringat, hak Allah swt adalah yang paling utama dalam apa-apa hal sekalipun. Di Jepun ini kita berpeluang berkawan dengan orang Jepun yang rata-ratanya bukan muslim. Dan saya yakin ramai orang Jepun yang baik terhadap kita. Namun dalam mengingati kebaikan mereka jangan pula kita menggadaikan prinsip agama , andai kita diminta melakukannya. Jika seorang sensei yang banyak membantu kita, tiba-tiba meminta kita menolongnya membeli arak, adakah kita akan memenuhi permintaannya? Di saat itu iman yang teguh akan mengatakan “tidak”. Tetapi jangan diabaikan pula penerangan tentang Islam kepada mereka.

Ya Allah, kurniakanlah kami kefahaman dalam beragama. Tingkatkan amal dan teguhkan langkah. Andai ada kesilapan dalam tulisan saya ini, saya mohon maaf dan minta diperbetulkan.





Kuliah Maghrib- Ucapkanlah Terima Kasih Dan Ingatlah Kebaikan Orang Lain (siri 2)

8 10 2009

Kisah Rasulullah S.A.W. dan Mat’am bin ‘Adi.

Sebelum peristiwa Hijrah, Rasulullah S.A.W. sempat keluar dari Mekah untuk berda’wah kepada penduduk kota Taif. Baginda ditemani Zaid Bin Harithah. Tetapi penduduk Taif menolak da’wah baginda malah baginda dikasari oleh mereka. Batu-batu yang dibaling mengenai jasad baginda hingga mengalirkan darah. Tetapi inilah bukti ketabahan  Rasululullah S.A.W. dalam menyampaikan risalah Islam. Sejauh mana pula usaha kita untuk menyampaikan agama Allah ini?

Rasulullah S.A.W. meninggalkan Taif dan kembali ke Mekah, namun baginda tidak terus masuk ke Mekah begitu saja.  Baginda telah meminta suaka dari seorang musyrik bernama Mat’am Bin ‘Adi sebelum memasuki kota Mekah. Mat’am bersetuju dengan permintaan baginda dan telah mengarahkan anak-anaknya melengkapkan diri dengan senjata. Mereka mengawal empat penjuru ka’abah dan Mat’am mengumumkan bahawa dia memberikan perlindungan kepada Rasulullah S.A.W.

Di dalam kitab “Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah“, Ustaz Abdul Hadi Awang menulis bahawa jasa Mat’am tetap dikenang oleh Rasulullah S.A.W., meskipun dia terus kafir. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda berhubung dengan tawanan perang Badar. Kata baginda, “Kalaulah masih hidup Mat’am dan ia meminta aku membebaskan kesemua tawanan ini, nescaya aku bebaskan mereka”.

Sikap mengenang budi yang ditunjukkan Rasulullah S.A.W. hendaklah menjadi pengajaran kepada kita, apatah lagi jika yang berbuat kebaikan itu adalah saudara seagama.  Bagi kita yang berada di bumi ghuraba, ingatlah kebaikan saudara-saudara seagama yang telah membantu kita, baik sedikit mahupun banyak. Malah jika ada orang kafir yang berbuat kebaikan kepada kita, ingatlah kebaikan tersebut.

Di antara hikmah mengenang kebaikan orang lain ialah dapat mengelakkan pergaduhan apatah lagi persengketaan sesama manusia. Salah faham sesama manusia tidak mustahil berlaku, dan adakalanya boleh menjurus ke arah persengketaan yang serius. Namun sekiranya orang yang bersengketa itu mengenang kembali kebaikan masing-masing dan jasa yang telah dicurahkan sesama mereka sebelum ini, hati mudah menjadi lembut dan lebih cenderung kepada perdamaian. Inilah hikmah yang kita perlu sedar.

Namun begitu apabila manusia menggunakan alasan “mengenang jasa” hingga mengenepikan hak Allah, maka usahlah berbelah bagi lagi untuk mengatakan TIDAK kepadanya. InsyaAllah akan dikupas dalam siri yang terakhir.

Bersambung…





Kuliah Maghrib- Ucapkanlah Terima Kasih Dan Ingatlah Kebaikan Orang Lain (siri 1)

4 10 2009
  • Tarikh : 2 Oktober 2009
  • Tempat : Musolla International House, Nagaoka University of Technology
  • Penceramah : Akh Naim Othman

Hadis riwayat Imam Tirmizi ada menyatakan:

“Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, maka dia tidak berterima kasih kepada Allah.”

Hadis ini, menurut pandangan Imam Tirmizi ialah hasan sahih. Islam mengajar manusia jalan untuk menjaga hubungan dengan Allah, begitu juga hubungan sesama manusia. Perkataan dan perbuatan yang diajar oleh Nabi S.A.W. , pasti  membawa kebaikan di dunia dan akhirat. Termasuklah amalan berterima kasih.

Mungkin ada yang mempertikaikan perkara ini dengan mengatakan bahawa, orang bukan Islam juga turut berterima kasih sesama mereka. Di Jepun sendiri, ucapan terima kasih disebut “Arigatou Gozaimasu”.  Jadi apakah signifikannya amalan ini untuk dilihat dari perspektif Islam?

Fikirkan tiga situasi.

1) Seseorang yang tidak suka berterima kasih.

2) Seseorang yang berterima kasih, tetapi melakukannya semata-mata kerana adat dan budaya.

3) Seseorang yang berterima kasih, dan melakukannya dengan kesedaran dan penghayatan bahawa amalan ini diajar oleh Nabis S.A.W. , maka dia mengamalkan sunnah baginda.

Golongan pertama tidak mendapat kebaikan di dunia bahkan di akhirat. Golongan kedua pula mendapat kebaikan di dunia, kerana ucapan mereka dapat mengeratkan hubungan sesama manusia.

Tetapi golongan ketiga insyaAllah, mendapat kebaikan di dunia dan juga di akhirat. Ucapan mereka bukan saja mengukuhkan hubungan sesama insan, tetapi dikira sebagai amalan kebaikan yang memberatkan timbangan di akhirat kelak. Itulah yang patut dikejar oleh setiap orang yang beriman.

Dan adapun orang-orang yang berat timbangan (kebaikan)nya, maka dia berada dalam kehidupan yang memuaskan. Dan adapun orang-orang yang ringan timbangan (kebaikan)nya, maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah. Tahukah kamu apakah neraka Hawiyah itu? (Yaitu) api yang sangat panas. (Al-Qari’ah:6~11)

Bersambung…








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.