Adab Makan(4)-Larangan Mengumpulkan Dua Buah Kurma Atau Lain -Lainnya Jikalau Makan Bersama-sama Kecuali Dengan Izin Kawan-Kawannya

21 10 2009

Dari Jabalah bin Suhaim, katanya: “Kita semua terkena tahun peceklik beserta Ibnuz Zubair. Kemudian kita mendapat rezeki kurma. Abdullah bin Umar radhiallahu ‘anhuma berjalan melalui kita dan kita sedang makan, lalu ia berkata: “Jangan engkau semua mengumpulkan – yakni makan dua buah atau lebih dengan sekaligus, karena sesungguhnya Nabi s.a.w. melarang mengumpulkan itu.” Kemudian ia melanjutkan katanya: “Kecuali kalau yang seorang itu mengizinkan saudaranya.” (Muttafaq ‘alaih)

nota: peceklik bermaksud musim panas berlarutan sehingga membantutkan pertanian.

Rasulullah s.a.w.  mengajarkan kita supaya tidak mengumpulkan buah kurma ketika memakannya, dengan kata lain makanlah secara tertib satu persatu-persatu. Kecuali jika orang lain yang makan bersama mengizinkan kita. Jika berbuat demikian, mungkin ada diantara orang yang makan bersama kita akan kecil hati melihat kita makan dengan banyak dan cepat. Maka dapat dilihat hikmahnya tidak mengumpulkan makanan.

Walaubagaimanapun, moga apa yang kita amalkan adalah diatas kesedaran bahawa ianya dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan kita mendapat imbalan pahala yang menguntungkan, insyaALLAH.





Adab Makan(3)-Ramaikanlah orang yang makan

12 10 2009

Memperbanyakkan Tangan Pada Makanan — Yakni Hendaknya Ketika Makan Itu Beserta Orang Banyak

Dari Abu Huratrah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda: “Makanan untuk dua orang itu dapat mencukupi tiga orang sedang makanan untuk tiga orang itu dapat mencukupi empat orang.” (Muttafaq ‘alaih)
Dari Jabir r.a., katanya: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Makanan untuk seorang itu dapat mencukupi dua orang dan makanan dua orang itu dapat mencukupi empat orang, sedang makanan empat orang itu dapat mencukupi delapan orang.” (Riwayat Muslim)

Rasulullah S.A.W., mengajar kita bahawa makanan yang sedikit itu sebenarnya mencukupi untuk orang yang lebih ramai. Maka ramaikanlah jemaah ketika makan. Keberkahannya dapat dirasa, malah dapat mengelakkan pembaziran. Meramaikan orang yang makan juga dapat memupuk jiwa “memberi” di kalangan kita, mengikis sifat bakhil di dalam diri. InsyaAllah, akan tersemai sifat kebersamaan dan keutuhan ukhuwah di kalangan mereka.





Adab Makan(2)-Bolehkah orang yang tidak diundang turut serta dalam majlis?

30 09 2009

Dari Abu Mas’ud al-Badri r.a., katanya: “Ada seorang lelaki mengundang Nabi s.a.w. untuk menghadiri suatu jamuan makanan yang dibuat untuk beliau, sebagai seorang kelima dari lima orang yang diundang untuk itu. Tiba-tiba orang-orang yang diundang itu – diikuti oleh seseorang – yang tidak ikut diundang. Setelah beliau s.a.w. sampai di pintu, lalu beliau s.a.w. bersabda: “Orang ini mengikuti kita semua. Jadi jikalau engkau suka mengizinkan untuk ikut – biarlah ia ikut, tetapi jikalau engkau tidak menyukainya, biarlah ia kembali saja.” Orang yang mengundang lalu menjawab: “Bahkan saya mengizinkannya, ya Rasulullah.” (Muttafaq ‘alaih)

Kita wajib memenuhi jemputan ke majlis jamuan, selagi mana ia bukan majlis maksiat. Namun seringkali berlaku, orang yang tidak diundang turut mengikuti orang yang diundang ke majlis tersebut.

Dalam kes ini Rasululullah S.A.W. mengajar kita supaya bertanyakan kepada tuan rumah, bolehkah orang yang tidak diundang tetapi mengikuti itu turut serta dalam majlis. Dan terpulanglah kepada tuan rumah sama ada mahu membenarkannya atau tidak.

Maka janganlah kita kecil hati sekiranya kita tidak dibenarkan menyertai majlis jika kita tidak diundang. Kepada tuan rumah pula, usahlah rasa bersalah jika tidak membenarkan orang yang tidak diundang menyertai majlis kerana ia adalah hak anda. Akan tetapi semestinya kita beroleh lebih banyak kebaikan jika turut membenarkannya.

Indahnya sunnah Nabi S.A.W. Inilah yang dinamakan keadilan!





Adab Makan(1) – Jangan Mencela Makanan Dan Sunnahnya Memuji Makanan

29 09 2009

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. itu tidak pernah mencela sama sekali pada sesuatu makanan. Jikalau beliau s.a.w. ingin pada makanan itu beliaupun memakannya dan jikalau tidak menyukainya, maka beliau tinggalkan – tanpa mengucapkan celaan padanya.” (Muttafaq ‘alaih)

Dari Jabir r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. meminta lauk pauk kepada keluarganya, lalu mereka  berkata: “Tidak ada yang kita punyai melainkan cuka. Beliau s.a.w. lalu memintanya dan mulailah beliau makan serta bersabda: “Sebaik-baik lauk pauk ialah cuka, sebaik-baik Iauk pauk ialah cuka.” (Riwayat Muslim)

Bersyukur dengan  apa yang ada.

Bersyukur dengan apa yang ada.

Sebagai makhluk yang bergelar hamba, adalah sangat tidak patut bagi manusia mencela rezeki yang dikurniakan kepadanya. Apatah lagi di Jepun ini, makanan halal melimpah ruah dan mudah didapati.

Adalah sangat memalukan jika ada muslim yang mencela makanan. Bukan saja bercanggah dengan sunnah, malah kita dapat lihat di dalam masyarakat Jepun sekalipun, mereka diajar cara yang “sederhana” jika tidak gemar akan sesuatu makanan.

Mereka biasa menyebut “Kuci ni awanai (口に合わない” – jika dialih bahasa bermaksud “tidak sesuai dengan mulut saya”. Mahukah kita lebih songsang dari orang Jepun yang majoritinya tidak beragama ini?