Siri ISK – (5) Tujuan Hidup Manusia – Ibadah

29 10 2009

Al-Quran II

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ (٥٦)مَا أُرِيدُ مِنْهُمْ مِنْ رِزْقٍ وَمَا أُرِيدُ أَنْ يُطْعِمُونِ (٥٧)إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ(٥٨

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang mempunyai kekuasaan Yang tidak terhingga, lagi Yang Maha kuat kukuh kekuasaanNya.”

(Az-Zariyat 51:56-58)

Jelas. Manusia diciptakan untuk BERIBADAT. Ibadat yang bagaimana? Sembahyang semata-mata? Tidak. Tidak sesempit itu maksud ibadat. Yang menyempitkan erti ibadat itu ialah pemikiran manusia yang sempit akibat kurang kefahaman dalam agama.

Ibadah khusus: Ibadah yang wajib dilakukan sebagaimana yang terkandung dalam rukun Islam dan juga seumpamanya seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan sebagainya.

Ibadah umum: Segala perkara atau pekerjaan selain dari yang tersebut di atas yang dilakukan semata-semata untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.

Jadi, mudah bukan. Niatkanlah setiap perbuatan itu untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Contohnya, makan. Niatkan setiap kali kita makan itu untuk mendapatkan tenaga agar boleh melakukan ibadat khusus dan kebaikan di muka bumi semata-mata untuk redha Allah. Begitu juga dengan tidur, belajar, berjalan, menonton televisyen dan lain-lain.

Gamers! Cuba fikirkan bagaimana bermain games boleh mendapat keredhaan Allah. Kalau ada, silalah bermain. Kalau tiada, hentikan.

Manusia sering terkeliru mengenai tugas utama mereka iaitu menjadi hamba Allah dan menuruti segala perintahNya. Manusia samar-samar dalam mencari tujuan mereka diciptakan, tujuan mereka dilahirkan ke dunia. Dalam kesamaran dan kegelapan, manusia terkapai-kapai, cuba menggapai identiti diri. Sehingga akhirnya mereka mungkin mengejar perkara yang sudah lama ditetapkan oleh Allah, antaranya persoalan rezeki dan kebahagiaan dunia.

ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ المَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيْهِ الرُّوْحَ وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ؛ بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ. فَوَاللهِ الَّذِي لا إلهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ اْلجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُوْنَ بَيْنـَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكتِاَبُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا. وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُوْنَ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ اْلجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا. رواه البخاري ومسلم

“…kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.”

(HR Bukhari. Hadith No.4, Hadith 40 An-Nawawi)

“Rezeki sudah ditetapkan. Mengapa perlu cari lagi? Kebahagiaan di dunia sudah ditetapkan. Mengapa perlu risau lagi? Duduk sajalah di rumah menunggu rezeki dan kebahagiaan dunia datang bergolek” Sebuah provokasi yang membingungkan manusia.

Bukan itu yang dimaksudkan dengan hadith di atas. Hatta rezeki untuk seekor burung tiong pun memang sudah ditetapkan, tetapi ulat beluncas tidak akan masuk dengan sendirinya ke dalam mulut tiong.  Begitu juga manusia. Rezeki sudah ditetapkan, carilah ia. Tapi ingat, mencari rezeki bukan tujuan manusia diciptakan, tetapi pengabdian kepada Allah. Ini yang sering mengelirukan manusia, menipu manusia agar mengejar kemewahan dunia.

Kejarlah kemewahan dunia tetapi kegagalan itu pasti jika ia bukan rezeki mu.





Siri ISK – (4) Hati Menentukan Perilaku Manusia

23 10 2009

4. Hadith III

رَسُوْلَ الله صلى الله عليه وسلم  يَقوْلُ:

أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ

رواه البخاري ومسلم

” …Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.”

(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim, Hadith No.6 Hadith 40 an-Nawawi)

Sudah terang lagi bersuluh. Hati menentukan baik buruknya manusia. Kefahaman menentukan baik buruknya hati.

Ya, siapakah yang lebih kenal akan soal hati selain Allah?

Allah yang menggelarkan hati kita sebagai QALB, iaitu sesuatu yang berbolak balik, terlentang terlangkup, timbul tenggelam dengan begitu mudah di sepanjang perjalanan hidup ini. Sesungguhnya dengan segala unsur bijak yang ada di minda, kita terlupa bahawa Allah mahu menyelamatkan kesucian HATI, yang tidak mampu ditanggung logik. Akal kita dengan ilmu di puncak menara gading mana sekali pun, tidaklah kuat untuk mengawal hati. Akal itu menteri, rajanya adalah hati. Sering sahaja raja yang berkuasa itu berpaling tadah dari akal kepada NAFSU.

Jagalah hati.

Setiap hari, setiap jam, setiap minit, setiap saat, setiap milisaat, setiap nanosaat, HATI berperang dengan NAFSU yang sentiasa dihasut syaitan. Milik siapakah kemenangan kalau bukan hati yang baik dan bersih yang dimankin oleh kefahaman yang jelas.

Jagalah hati.





Siri ISK – (3) Memahami dengan Hati

10 10 2009

3. Al-Quran I

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالإنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالأنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”    [Al-A’raaf 7 : 179]

Ayat al-Quran di atas jelas menyatakan HATI yang menentukan kefahaman seseorang bukannya ‘OTAK’ manusia sebagaimana yang kita percaya selama ini.Di sinilah terdapatnya perbezaan antara faham dengan hati dan faham dengan akal.

Contoh 1 :

NOVEL Ayat-ayat Cinta vs BUKU TEKS Termodinamik

Bandingkan diri anda ketika membaca novel dan buku teks. Tahu dimana perbezaanya? Mereka yang membaca novel akan menggunakan hati untuk menghayati kandungan novel itu. Sebaliknya, sekiranya kita membaca buku-buku akademik, kita akan menggunakan akal untuk memahami kandungan buku itu. Apa yang kita ucap atau rasa selepas membaca menggambarkan apa yang kita gunakan untuk memahami. Contoh, “Kesiannya Farhi…” dan “Jahatnya perempuan tu…” adalah kesan memahami dengan hati manakala “Ooo… Macam tu ke…” dan “Mudah je rupanya…” adalah kesan memahami dengan akal.

Contoh 2 :

FILEM Ayat-ayat Cinta vs DOKUMENTARI Merdeka 1957

Filem-filem romantik pasti menyentuh jiwa, menyebabkan manusia menangis kerana sedih dan tertawa kerana gembira. Dokumentari-dokumentari belum pasti dapat menembusi jiwa manusia. Itulah perbezaan fahamnya hati dan fahamnya akal. Luangkan sedikit masa anda untuk menonton sedutan filem di bawah.


Tanya hati dan perasaan anda.

Apa yang difahami oleh hati akan pasti mempengaruhi kehidupan seseorang tetapi kefahaman daripada akal belum tentu akan mengubah kehidupan seseorang malah akan dilupakan.






Siri ISK – (2) Kebaikan bagi Orang Yang Faham

3 10 2009

2. Hadith II

عن أبي هريرة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم

مَنْ يُرِدِ اللّهُ بِهِ خَيْراً يُفَقّهْهُ فِي الدّينِ

(صحيح البخارى ومسلم)

“Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, Dia (Allah) memberikannya kefahaman dalam Ad-Din”

Kefahaman yang membawa kebaikan kepada seseorang ialah kefahaman mengenai Ad-Din; kefahaman tentang Islam. Timbul persoalan “Kebaikan apakah yang dijanjikan oleh Allah?”.  Mengapa kita pelu risau dan tertanya-tanya apakah kebaikan yang dijanjikan. Ini janji Allah. Allah tidak memungkiri janji dan Allah Maha Mengetahui dan lagi Maha Bijaksana. Maka timbul satu lagi persoalan bagi orang yang mahu memahami.

“Bagaimana caranya untuk aku memahami ad-Din?”

Persoalannya mudah tetapi jawapannya susah bagi yang tidak mengetahui kerana :

فَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يَهدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلإسْلامِ…

“Maka sesiapa Yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam…” (Surah Al-An’am 6: 125)

Jadi, berdasarkan hadith di atas, kebaikan adalah untuk orang yang terpilih untuk memahami ad-Din. Tidak mahukah kita menjadi antara orang-orang yang dipilih oleh Allah untuk memahami dan membantu agama-Nya? Nantikan cara untuk  memahami ad-Din di dalam artikel ISK yang berikutnya.





Siri ISK – (1) Manusia Logam

1 10 2009

Ini Sejarah Kita – Analisis Sejarah Sebuah Ummah

Mari kita melihat sejarah, dengan mata hati…

Kata Imam Abu Al-Qasim Al-Junaid:

“Sejarah merupakan salah satu tentera Allah yang akan menguatkan hati…”

Allah s.w.t. berfirman:

وَكُلا نَقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ أَنْبَاءِ الرُّسُلِ مَا نُثَبِّتُ بِهِ فُؤَادَكَ وَجَاءَكَ فِي هَذِهِ الْحَقُّ وَمَوْعِظَةٌ وَذِكْرَى لِلْمُؤْمِنِينَ

“Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu Dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang Yang beriman.”(Surah Hud 11: 120)

Muqaddimah 1

1. Hadith I

عن أبي هريرة رضي الله عنه: قَالَ رَسُوْلَ الله صلى الله عليه وسلم:
((
الناس معادن، خِيَارُهُمْ فِي الْجَاهِلِيّةِ خِيَارُهُمْ فِي الإِسْلاَمِ. إِذَا فَقُهُوا)). صحيح البخاري- كتاب الأنبياء

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda “Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham” (HR Bukhari-Kitabul Anbiya’).

Nilai logam tidak akan berubah dalam mana-mana zaman. Sekiranya nilai itu ‘jahil’, nilai itu akan menyokong jahiliyyah dan sebaliknya, sekiranya ia ‘Islam’, nilai itu akan menyokong Islam. Segalanya bergantung kepada kefahamannya.

Antara Faham Hukum dan Faham Islam

Bahagian terakhir hadith ini, ”إذا فقهوا” mempunyai dua sebutan dan maksudnya berbeza:

1. إذا فقِهوا (Iza faqihu): memahami ilmu Fiqh. (Contoh: Imam As-Syafie).

2. إذا فقُهوا : (Iza faquhu): memahami Islam. (Contoh: Sumayyah).

Apa bezanya Sumayyah dan Imam As-Syafie? Kalau hendak dibandingkan dari segi bilangan ilmu, Imam As-Syafie lebih banyak mendalami cabang ilmu berbanding Sumayyah. Tapi mengapa Sumayyah yang berbekalkan kalimah “La ilaha illallah” menjadi orang pertama mati syahid? Di sinilah terletaknya perbezaan “Faqihu” dan “Faquhu”. Sumayyah memahami Islam manakala Imam As-Syafie memahami hukum. Kita ini seperti Sumayyah atau Imam As-Syafie?

Ramai yang mungkin mengetahui hukum Fiqh tetapi bukan memahami Islam itu sendiri. Sedangkan memahami Islam itu sendiri lebih penting sebelum mengetahui perkara-perkara lain termasuklah Ilmu Fiqh. Faham hukum tidak semestinya faham Islam dan begitu juga sebaliknya.

Contoh 1 : Semasa era tahun 60an, ramai pelajar-pelajar jurusan agama di Universiti Al-Azhar (ustazah-ustazah) yang banyak mengetahui soal hukum-hakam tetapi masih tidak memakai tudung menutup aurat. Mereka mengetahui hukum Fiqh tetapi masih tidak memahami Islam. Berbeza pula pada tahun 80an, ramai pelajar-pelajar lepasan UK yang pulang ke tanah air dengan keadaan bertudung menutup aurat (sebelumnya tidak). Mereka ini memahami Islam tetapi tidak menguasai ilmu Fiqh. Mereka yang memahami Islam akan mengamalkannya walaupun sedikit, sebaliknya yang tidak memahami akan meninggalkannya walaupun telah datang hujah dan pengetahuan.

Contoh 2 : Semua orang tahu hukum menipu dan bohong itu berdosa, tapi berapa ramai orang yang menipu dan berbohong terutamanya orang yang cuba menipu diri sendiri?

Kita banyak memahami hukum Fiqh melalui kuliyah-kuliyah ‘Fardhu ‘Ain’ – subjek wajib di sekolah. Tetapi bagaimana kita mahu memahami Islam itu sendiri? Didiklah jiwa kita melalui proses usrah dan tarbiyyah.