Kuliah Maghrib- Ucapkanlah Terima Kasih Dan Ingatlah Kebaikan Orang Lain (siri akhir)

14 10 2009

Telah disebut peristiwa Rasulullah S.A.W. dan Mat’am Bin ‘Adi. Rasulullah S.A.W. tetap mengingati kebaikan yang telah Mat’am lakukan walaupun dia musyrik.

Namun dalam mengenang kebaikan manusia, janganlah kita jadikan jasa orang lain itu alasan untuk kita mengabaikan perintah Allah S.W.T. , apatah lagi menjual Aqidah sendiri. Apa yang dinukilkan di dalam Al-Quran mengenai kisah Musa a.s. dan Firaun hendaklah diambil iktibar.

Jika mahu dihitung kebaikan yang telah dilakukan Firaun kepada Musa a.s. memanglah banyak. Musa a.s. dibesarkan di dalam istana Firaun, dari kecil hinggal dewasa. Dibesarkan di dalam istana, bukannya pondok kecil atau khemah terbiar, maka hidupnya serba cukup.

Tetapi kebaikan yang dilakukan Firaun itu tidak bermakna kezalimannya telah boleh dipadam begitu saja. Bukan setakat menzalimi Bani Israel, Firaun telah melebihi tindakan syaitan sehingga mengaku dirinya Tuhan. Syaitan yang menyesatkan itu sendiri tidak mengaku dirinya Tuhan.

Untuk itu Allah swt melantik Musa a.s dan saudaranya Harun a.s. untuk membetulkan Firaun dari kesesatan. Teguran kepadanya dimulakan dengan lembut, mudah-mudahan Firaun sedar.

Setelah Musa a.s. mendatangi Firaun untuk membetulkannya dari kesesatan, apa pula yang dikatakan Firaun kepada Musa a.s.?

nagaokamasjidblog2nagaokamasjidblog1Dia(Fir’aun) menjawab, “Bukankah kami telah mengasuhmu dalam lingkungan (keluarga) kami, waktu engkau masih kanak-kanak dan engkau tinggal bersama kami beberapa tahun dari umurmu. Dan engkau (Musa) telah melakukan (kesalahan dari) perbuatan yang telah engkau lakukan dan engkau termasuk orang yang tidak tahu berterima kasih.”

(As-Syu’araa’:18~19)

Firaun mengungkit jasanya membesarkan Musa a.s. , namun adakah kebaikan yang telah dia lakukan itu boleh membayar kezalimannya? Firaun menafikan hak Allah s.w.t. untuk disembah, malah menyesatkan manusia dan menzalimi bani Israil.

Oleh itu hendaklah kita beringat, hak Allah swt adalah yang paling utama dalam apa-apa hal sekalipun. Di Jepun ini kita berpeluang berkawan dengan orang Jepun yang rata-ratanya bukan muslim. Dan saya yakin ramai orang Jepun yang baik terhadap kita. Namun dalam mengingati kebaikan mereka jangan pula kita menggadaikan prinsip agama , andai kita diminta melakukannya. Jika seorang sensei yang banyak membantu kita, tiba-tiba meminta kita menolongnya membeli arak, adakah kita akan memenuhi permintaannya? Di saat itu iman yang teguh akan mengatakan “tidak”. Tetapi jangan diabaikan pula penerangan tentang Islam kepada mereka.

Ya Allah, kurniakanlah kami kefahaman dalam beragama. Tingkatkan amal dan teguhkan langkah. Andai ada kesilapan dalam tulisan saya ini, saya mohon maaf dan minta diperbetulkan.





Kuliah Maghrib- Ucapkanlah Terima Kasih Dan Ingatlah Kebaikan Orang Lain (siri 2)

8 10 2009

Kisah Rasulullah S.A.W. dan Mat’am bin ‘Adi.

Sebelum peristiwa Hijrah, Rasulullah S.A.W. sempat keluar dari Mekah untuk berda’wah kepada penduduk kota Taif. Baginda ditemani Zaid Bin Harithah. Tetapi penduduk Taif menolak da’wah baginda malah baginda dikasari oleh mereka. Batu-batu yang dibaling mengenai jasad baginda hingga mengalirkan darah. Tetapi inilah bukti ketabahan  Rasululullah S.A.W. dalam menyampaikan risalah Islam. Sejauh mana pula usaha kita untuk menyampaikan agama Allah ini?

Rasulullah S.A.W. meninggalkan Taif dan kembali ke Mekah, namun baginda tidak terus masuk ke Mekah begitu saja.  Baginda telah meminta suaka dari seorang musyrik bernama Mat’am Bin ‘Adi sebelum memasuki kota Mekah. Mat’am bersetuju dengan permintaan baginda dan telah mengarahkan anak-anaknya melengkapkan diri dengan senjata. Mereka mengawal empat penjuru ka’abah dan Mat’am mengumumkan bahawa dia memberikan perlindungan kepada Rasulullah S.A.W.

Di dalam kitab “Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah“, Ustaz Abdul Hadi Awang menulis bahawa jasa Mat’am tetap dikenang oleh Rasulullah S.A.W., meskipun dia terus kafir. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda berhubung dengan tawanan perang Badar. Kata baginda, “Kalaulah masih hidup Mat’am dan ia meminta aku membebaskan kesemua tawanan ini, nescaya aku bebaskan mereka”.

Sikap mengenang budi yang ditunjukkan Rasulullah S.A.W. hendaklah menjadi pengajaran kepada kita, apatah lagi jika yang berbuat kebaikan itu adalah saudara seagama.  Bagi kita yang berada di bumi ghuraba, ingatlah kebaikan saudara-saudara seagama yang telah membantu kita, baik sedikit mahupun banyak. Malah jika ada orang kafir yang berbuat kebaikan kepada kita, ingatlah kebaikan tersebut.

Di antara hikmah mengenang kebaikan orang lain ialah dapat mengelakkan pergaduhan apatah lagi persengketaan sesama manusia. Salah faham sesama manusia tidak mustahil berlaku, dan adakalanya boleh menjurus ke arah persengketaan yang serius. Namun sekiranya orang yang bersengketa itu mengenang kembali kebaikan masing-masing dan jasa yang telah dicurahkan sesama mereka sebelum ini, hati mudah menjadi lembut dan lebih cenderung kepada perdamaian. Inilah hikmah yang kita perlu sedar.

Namun begitu apabila manusia menggunakan alasan “mengenang jasa” hingga mengenepikan hak Allah, maka usahlah berbelah bagi lagi untuk mengatakan TIDAK kepadanya. InsyaAllah akan dikupas dalam siri yang terakhir.

Bersambung…





Kuliah Maghrib- Ucapkanlah Terima Kasih Dan Ingatlah Kebaikan Orang Lain (siri 1)

4 10 2009
  • Tarikh : 2 Oktober 2009
  • Tempat : Musolla International House, Nagaoka University of Technology
  • Penceramah : Akh Naim Othman

Hadis riwayat Imam Tirmizi ada menyatakan:

“Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, maka dia tidak berterima kasih kepada Allah.”

Hadis ini, menurut pandangan Imam Tirmizi ialah hasan sahih. Islam mengajar manusia jalan untuk menjaga hubungan dengan Allah, begitu juga hubungan sesama manusia. Perkataan dan perbuatan yang diajar oleh Nabi S.A.W. , pasti  membawa kebaikan di dunia dan akhirat. Termasuklah amalan berterima kasih.

Mungkin ada yang mempertikaikan perkara ini dengan mengatakan bahawa, orang bukan Islam juga turut berterima kasih sesama mereka. Di Jepun sendiri, ucapan terima kasih disebut “Arigatou Gozaimasu”.  Jadi apakah signifikannya amalan ini untuk dilihat dari perspektif Islam?

Fikirkan tiga situasi.

1) Seseorang yang tidak suka berterima kasih.

2) Seseorang yang berterima kasih, tetapi melakukannya semata-mata kerana adat dan budaya.

3) Seseorang yang berterima kasih, dan melakukannya dengan kesedaran dan penghayatan bahawa amalan ini diajar oleh Nabis S.A.W. , maka dia mengamalkan sunnah baginda.

Golongan pertama tidak mendapat kebaikan di dunia bahkan di akhirat. Golongan kedua pula mendapat kebaikan di dunia, kerana ucapan mereka dapat mengeratkan hubungan sesama manusia.

Tetapi golongan ketiga insyaAllah, mendapat kebaikan di dunia dan juga di akhirat. Ucapan mereka bukan saja mengukuhkan hubungan sesama insan, tetapi dikira sebagai amalan kebaikan yang memberatkan timbangan di akhirat kelak. Itulah yang patut dikejar oleh setiap orang yang beriman.

Dan adapun orang-orang yang berat timbangan (kebaikan)nya, maka dia berada dalam kehidupan yang memuaskan. Dan adapun orang-orang yang ringan timbangan (kebaikan)nya, maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah. Tahukah kamu apakah neraka Hawiyah itu? (Yaitu) api yang sangat panas. (Al-Qari’ah:6~11)

Bersambung…





Adab Makan(1) – Jangan Mencela Makanan Dan Sunnahnya Memuji Makanan

29 09 2009

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. itu tidak pernah mencela sama sekali pada sesuatu makanan. Jikalau beliau s.a.w. ingin pada makanan itu beliaupun memakannya dan jikalau tidak menyukainya, maka beliau tinggalkan – tanpa mengucapkan celaan padanya.” (Muttafaq ‘alaih)

Dari Jabir r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. meminta lauk pauk kepada keluarganya, lalu mereka  berkata: “Tidak ada yang kita punyai melainkan cuka. Beliau s.a.w. lalu memintanya dan mulailah beliau makan serta bersabda: “Sebaik-baik lauk pauk ialah cuka, sebaik-baik Iauk pauk ialah cuka.” (Riwayat Muslim)

Bersyukur dengan  apa yang ada.

Bersyukur dengan apa yang ada.

Sebagai makhluk yang bergelar hamba, adalah sangat tidak patut bagi manusia mencela rezeki yang dikurniakan kepadanya. Apatah lagi di Jepun ini, makanan halal melimpah ruah dan mudah didapati.

Adalah sangat memalukan jika ada muslim yang mencela makanan. Bukan saja bercanggah dengan sunnah, malah kita dapat lihat di dalam masyarakat Jepun sekalipun, mereka diajar cara yang “sederhana” jika tidak gemar akan sesuatu makanan.

Mereka biasa menyebut “Kuci ni awanai (口に合わない” – jika dialih bahasa bermaksud “tidak sesuai dengan mulut saya”. Mahukah kita lebih songsang dari orang Jepun yang majoritinya tidak beragama ini?





Kuliah Subuh 29 Ramadhan 1430H

24 09 2009

Fokus

Fokus

Kasih sayang dan rahmat Allah s.w.t telah mengizinkan sebahagian dari hamba-hambaNya untuk solat Subuh berjemaah pada sabtu, 29 Ramadhan 1930H taktala sebahagian yang lain enak diulit mimpi. Syukur alhamdulillah.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah Isyak dan Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi kedua-duanya sekali pun dengan merangkak. Sungguh, aku ingin menyuruh mengerjakan solat, lalu solat itu ditegakkan, kemudian aku perintahkan seseorang untuk mengimami solat bersama orang ramai. Kemudian beberapa orang lelaki berangkat bersamaku dengan membawa kayu yang diikat, mendatangi suatu kaum yang tidak menghadiri solat berjemaah, sehingga aku bakar rumah mereka.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kemeriahan solat Subuh yang diimami oleh Akh Hanif diserikan lagi dengan kuliah Subuh selama 1 jam oleh Akh Fauzi Haris. Topik perbincangan ialah tadabbur surah al-Waqi’ah ayat 1-14 dan kupasan sebuah hadith qudsi mengenai neraka Jahannam.

Tadabbur surah al-Waqi'ah ayat 1-14

Tadabbur surah al-Waqi'ah ayat 1-14

Surah al-Waqi’ah (1-14) :: “Apabila berlaku hari kiamat itu, tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya. Ketika itu ada orang yang rendah hina (kafir) dan ada pula orang yang tinggi mulia (mukmin). Apabila bergoyang bumi segoyang-goyangnya. Dan hancur gunung-gunung sehancur-hancurnya. Sehingga ia menjadi debu yang berterbangan. Ketika itu kamu ada tiga macam; iaitu golongan kanan. Siapakah golongan kanan itu? (Orang-orang mukmin yang ditunjukkan buku-buku amalan di sebelah kanan). Dan golongan kiri. Siapakah golongan kiri itu? (Orang-orang kafir yang ditunjukkan buku-buku amalannya dari sebelah kiri). Dan orang-orang dahulu yang terdahulu terdahulu masuk Islam. Mereka itu orang yang hampir disisi Tuhan. Dalam syurga kesenangan. Mereka itu banyak di antara orang-orang terdahulu. Dan sedikit di antara orang-orang yang kemudian.” – Tafsiran Prof Dr. Mahmud Yunus

"Neraka Jahannam itu..."

"Neraka Jahannam itu..."

Hadith qudsi :: “Wahai bani Adam. Bagaimana kamu boleh melakukan maksiat lagi kepada Allah sedangkan kamu tidak mampu untuk menahan panasnya matahari. Dan neraka Jahannam itu ada 7 tingkat. Di dalam neraka Jahannam itu ada api yang saling makan memakan (sabung-menyabung) antara satu sama lain. Pada setiap tingkat neraka itu ada 70,000 cawangan daripada api neraka. Dan pada setiap cawangan itu ada 70,000 buah kampung. Dan pada setiap kampung itu ada 70 buah rumah di dalamnya. Dan pada setiap rumah itu ada 70,000 buah bilik daripada api neraka.Dan pada setiap bilik itu ada 70,000 buah kotak. Dan pada setiap kotak itu ada 70,000 ekor kala jengking. Dan di atas kotak itu ada 70,000 batang pokok zaqqum. Dan di bawah setiap pokok zaqqum itu ada 70,000 rantai daripada api neraka. Dan setiap rantai neraka itu diseret oleh 70,000 malaikat. Dan di sana terdapat 70,000 ekor ular daripada api neraka. Dan bagi setiap ekor ular itu di dalam mulutnya ada lautan daripada racun yang hitam pekat. Demi kebesaaran zat-Ku,  Aku bersumpah. Demi Bukit Tursina, dan demi kitab yang tersusun cantik dari lembaran yang terbuka luas, dan demi Baiti Makmur, dan demi atap yang tinggi (langit), dan demi lautan yang di dalamnya ada api yang mendidih. Segala apa yang Aku janjikan adalah untuk orang-orang yang kafir (ingkar), dan orang-orang yang suka melaga-laga orang lain, dan orang-orang yang menderhaka kepada ibu bapa, dan orang-orang yang menunjuk-nunjuk dalam beribadat, dan orang yang enggan membayar zakat, dan penzina-penzina, dan peminum-peminum arak, dan orang menzalimi anak yatim, dan orang-orang yang menipu dan mengumpat, dan orang yang menyakiti jiran sebelah. Kecuali bagi orang-orang yang bertaubat dan orang beriman kepada Allah dan orang-orang yang beramal dengan amalan soleh.”

Ikuti huraian penuh hadith qudsi di atas.
Kuliah Subuh 29 Ramadhan 1930H.mp3

Kuliah Subuh 29 Ramadhan 1930H (4)

Semoga Allah merahmati hamba-hambaNya yang soleh

Semoga program-program seperti ini dapat diteruskan lagi dengan tertubuhnya Masjid Nagaoka. InsyaAllah.