Adab Makan(2)-Bolehkah orang yang tidak diundang turut serta dalam majlis?

30 09 2009

Dari Abu Mas’ud al-Badri r.a., katanya: “Ada seorang lelaki mengundang Nabi s.a.w. untuk menghadiri suatu jamuan makanan yang dibuat untuk beliau, sebagai seorang kelima dari lima orang yang diundang untuk itu. Tiba-tiba orang-orang yang diundang itu – diikuti oleh seseorang – yang tidak ikut diundang. Setelah beliau s.a.w. sampai di pintu, lalu beliau s.a.w. bersabda: “Orang ini mengikuti kita semua. Jadi jikalau engkau suka mengizinkan untuk ikut – biarlah ia ikut, tetapi jikalau engkau tidak menyukainya, biarlah ia kembali saja.” Orang yang mengundang lalu menjawab: “Bahkan saya mengizinkannya, ya Rasulullah.” (Muttafaq ‘alaih)

Kita wajib memenuhi jemputan ke majlis jamuan, selagi mana ia bukan majlis maksiat. Namun seringkali berlaku, orang yang tidak diundang turut mengikuti orang yang diundang ke majlis tersebut.

Dalam kes ini Rasululullah S.A.W. mengajar kita supaya bertanyakan kepada tuan rumah, bolehkah orang yang tidak diundang tetapi mengikuti itu turut serta dalam majlis. Dan terpulanglah kepada tuan rumah sama ada mahu membenarkannya atau tidak.

Maka janganlah kita kecil hati sekiranya kita tidak dibenarkan menyertai majlis jika kita tidak diundang. Kepada tuan rumah pula, usahlah rasa bersalah jika tidak membenarkan orang yang tidak diundang menyertai majlis kerana ia adalah hak anda. Akan tetapi semestinya kita beroleh lebih banyak kebaikan jika turut membenarkannya.

Indahnya sunnah Nabi S.A.W. Inilah yang dinamakan keadilan!





Adab Makan(1) – Jangan Mencela Makanan Dan Sunnahnya Memuji Makanan

29 09 2009

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. itu tidak pernah mencela sama sekali pada sesuatu makanan. Jikalau beliau s.a.w. ingin pada makanan itu beliaupun memakannya dan jikalau tidak menyukainya, maka beliau tinggalkan – tanpa mengucapkan celaan padanya.” (Muttafaq ‘alaih)

Dari Jabir r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. meminta lauk pauk kepada keluarganya, lalu mereka  berkata: “Tidak ada yang kita punyai melainkan cuka. Beliau s.a.w. lalu memintanya dan mulailah beliau makan serta bersabda: “Sebaik-baik lauk pauk ialah cuka, sebaik-baik Iauk pauk ialah cuka.” (Riwayat Muslim)

Bersyukur dengan  apa yang ada.

Bersyukur dengan apa yang ada.

Sebagai makhluk yang bergelar hamba, adalah sangat tidak patut bagi manusia mencela rezeki yang dikurniakan kepadanya. Apatah lagi di Jepun ini, makanan halal melimpah ruah dan mudah didapati.

Adalah sangat memalukan jika ada muslim yang mencela makanan. Bukan saja bercanggah dengan sunnah, malah kita dapat lihat di dalam masyarakat Jepun sekalipun, mereka diajar cara yang “sederhana” jika tidak gemar akan sesuatu makanan.

Mereka biasa menyebut “Kuci ni awanai (口に合わない” – jika dialih bahasa bermaksud “tidak sesuai dengan mulut saya”. Mahukah kita lebih songsang dari orang Jepun yang majoritinya tidak beragama ini?